Pilih pelakon baru untuk hidupkan "Puaka Balai Gombak"

Farizan Zainal
Pilih pelakon baru untuk hidupkan "Puaka Balai Gombak"

28 Jan – Penerbit filem "Puaka Balai Gombak", Puan Zarina Abd Rahman, memberitahu pihaknya memilih tiga pelakon baharu iaitu Hazwan Asari, Farhaziq Ab Manaf dan Shukri Tahir adalah untuk menghidupkan jalan cerita agar tidak kelihatan seperti sebuah lakonan.

Kumpulan paranormal "Puaka X" yang ditubuhkan oleh Showbiz sendiri adalah untuk merungkai misteri tempat-tempat yang dikatakan seram dengan menggunakan pendekatan berbeza jika dibandingkan dengan kumpulan penyiasatan lain.

"Kumpulan Puaka X ini diketengahkan dengan menimbulkan kontroversi dan menerjah lokasi-lokasi yang terang-terangan dikatakan 'keras' di laman-laman sesawang.

"Dalam filem ini, mereka melakukan apa sahaja yang pantang larang dan kemudiannya membuat kenyataan mereka di Facebook," ujar Puan Zarina yang ditemui pada pratonton filem "Puaka Balai Gombak" di TGV One Utama semalam.

Jelas pengarah filem ini pula, iaitu Waan Hafiz, pemilihan tiga orang pelakon baharu adalah untuk memperlihatkan perjalanan sebenar kumpulan paranormal dan reaksi mereka apabila berhadapan dengan makhluk tersebut.

"Kita memang sengaja memilih pelakon-pelakon baru supaya ia lebih kelihatan seperti paranormal sebenar.

"Bayangkan kalau kita letak pelakon ternama seperti Fizz Fairuz sudah tentu orang tidak akan percaya tentang perkara itu," katanya.

Waan turut mengulas mengenai dialog yang digunakan, dimana agak kasar kerana jalan cerita yang ditonjolkan spontan dan untuk menarik penonton muda.

"Pengambaran seperti ini tidak boleh menggunakan papan cerita, segalanya harus spontan dan adakalanya dialog yang dilontarkan agak keras.

"Tapi sebagai seorang pengarah filem, saya faham akan kehendak penonton khususnya dikalangan 'Gen Y' yang mahukan penceritaan di luar kotak."

Filem "Puaka Balai Gombak" yang berkonsepkan dokumentari terbitan Showbiz ini akan berada di pawagam pada 29 Januari ini.