Senarai lima terbaik filem Bollywood 2014!

Senarai lima terbaik filem Bollywood 2014!

18 Okt – Industri hiburan India yang lebih dikenali sebagai Bollywood mempunyai pengikutnya yang tersendiri hampir di seluruh dunia.

Cinta tiga segi mahupun hubungan yang tidak direstui orang tua kerap dijadikan plot cerita utama bagi kebanyakan filem-filem mereka yang turut diselitkan dengan keindahan lagu-lagu dan tarian rancak dan bertenaga oleh barisan pelakon handalan.

Namun, kini kualiti filem Bollywood sudah semakin meningkat dan boleh dianggap setaraf dengan karya Hollywood dan antara filem yang meraih kejayaan pecah panggung di peringkat antarabangsa adalah seperti "Slumdog Millionaire", "My Name Is Khan" dan "3 Idiots".

Sepanjang tahun ini turut kelihatan kemunculan filem-filem aksi hebat yang mendapat sambutan hangat kutipan pecah panggung sepanjang 2014, di antaranya adalah:

Kick
Keunggulan aktor ternama Salman Khan masih belum kehilangan bisanya lagi apabila dilihat berjaya melakonkan wataknya sebagai teraju utama menerusi filem arahan Sajid Nadiadwala ini.

Bergandingan bersama Jacqueline Fernandez, Randeep Hooda dan Mithun Chakraborty, karya terbitan Antenna Entertainments ini merupakan sebuah filem yang dihasilkan semula dari "Kick" (2009) yang mengisahkan seorang lelaki yang menjalani kehidupan abnormal.

Dirinya sering mencari kepuasan dan cabaran dalam setiap pekerjaan yang dilakukannya sehingga menyebabkan dirinya menjadi seorang perompak.

Singham Returns
Filem arahan pengarah tersohor Bollywood Rohit Shetty kembali semula dengan sekuel filem "Singham Returns" yang dibarisi oleh pelakon hebat seperti Ajay Devgan, Kareena Kapoor, Dayanand Shetty dan Anupam Kher.

Suami kepada aktres terkenal Kajol iaitu Ajay yang memegang watak sebagai Bajirao Singham telah kembali semula ke Mumbai sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis.

Konflik bermula apabila beliau cuba menumpaskan kuasa-kuasa besar yang terlibat dalam gejala rasuah di kalangan ahli politik di India. Sebelum mencapai kejayaan, beliau terpaksa menempuhi pelbagai halangan dan dugaan demi menegakkan keadilan dalam membanteras jenayah.

Bang Bang
Karya yang dibintangi oleh Hrithik Roshan dan Katrina Kaif sebagai teraju utama ini merupakan filem adaptasi "Knight & Day" lakonan Tom Cruise dan Cameron Diaz.

Filem bertemakan aksi dan romantik ini memaparkan kisah seorang wanita yang terperangkap dan terjerumus di dalam pengembaraan yang mendebarkan bersama seorang perisik yang telah dianiaya dan ingin membersihkan namanya semula.

Setelah menghabiskan masa yang begitu lama bersama, akhirnya wanita tersebut telah jatuh cinta terhadap perisik tersebut. Filem yang telah ditayangkan bermula 2 Oktober lalu telah diarahkan oleh pengarah hebat Siddharth Anand.

Holiday: A Soldier Is Never Off Duty
Tahun 2014 juga turut menampilkan filem aksi lakonan aktor yang tidak asing lagi iaitu Akshay Kumar bergandingan bersama aktres Sonakshi Sinha sebagai teraju utama.

Filem yang dihasilkan semula dari filem Tamil berjudul "Thuppakki" (2012) ini mengisahkan tentang seorang pegawai tentera bernama Virat yang pulang semula ke kampung halamannya di Mumbai untuk dijodohkan kepada seorang gadis bernama Nisa oleh kedua ibu bapanya.

Namun percutiannya diganggu oleh satu insiden ledakkan bom di sebuah bas yang dinaikinya dan dirinya tekad untuk menjejaki siapakah dalang di sebalik kejadian tersebut.

Jai Ho
Masih mengekalkan tema aksi, filem Hindi arahan Sohail Khan ini menceritakan tentang seorang jejaka bernama Jai yang merupakan bekas tentera yang cuba untuk membanteras gejala rasuah dan kezaliman yang berlaku di kalangan pihak berkuasa.

Beliau mempunyai misi penting untuk membantu seramai manusia selagi dirinya mampu. Hasil kerjasama dan sikap tolong menolong telah memudahkan tugasnya.

Namun begitu tanpa disangka dirinya mendapati telah menjadi mangsa dendam oleh seorang ahli politik berkuasa dan bertindak ingin memusnahkan hidup Jai dan keluarganya. Filem hebat ini dilakonkan oleh Salman Khan, Tabu, Sunil Shetty dan ramai lagi.